Wednesday, August 22, 2007

Sedekah Untuk Ahli Keluarga Dapat Lebih Banyak Pahala

Umat Islam tidak kira kaya atau miskin digalakkan bersedekah mengikut kemampuannya. Bagaimanapun, orang miskin yang bermurah hati hendak bersedekah, bersedekahlah ala kadar, asalkan tidak menyusahkan diri sendiri dan orang yang menjadi tanggungannya.

Selepas itu, kalau ada yang berlebih daripada yang diperlukannya, barulah boleh disedekahkan sebahagian daripadanya kepada orang lain.

Hal ini diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud :

"Apabila seseorang daripada kamu berkeadaan miskin (dan dia hendak bersedekah), maka hendaklah dia lebih dulu mengutamakan keperluan dirinya sendiri. Kalau ada yang berlebih, hendaklah disedekahkan kepada anak isteri dan orang yang ditanggung nafkahnya. Kalau ada juga yang berlebih, hendaklah disedekahkan kepada kerabatnya (atau kepada orang yang ada pertalian kerabat dengannya). Kalau ada juga yang berlebih, maka hendaklah disedekahkan kepada orang lain yang memerlukan bantuan, yang ada di sana sini." (Hadith sahih riwayat Imam Ahmad)

Dalam hal sama, daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda :
"Bersedekahlah kamu!
Seorang lelaki (yang hadir) berkata : Saya ada satu dinar.
Baginda menjawab : Sedekahkanlah wang itu kepada dirimu sendiri.
Orang itu berkata : Saya ada satu dinar lagi.
Baginda menjawab : Sedekahkanlah wang itu kepada isteri mu.
Orang itu berkata : Saya ada satu dinar lagi.
Baginda menjawab : Sedekahkanlah wang itu kepada anakmu.
Orang itu berkata : Saya ada satu dinar lagi.
Baginda menjawab : Sedekahkanlah wang itu kepada orang gajimu.
Orang itu berkata : Saya ada satu dinar lagi.
Baginda menjawab : Engkau lebih mengetahui (akan orang yang patut engkau berikan).
" (Hadith sahih riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis di atas, jelas ada keutamaan kepada siapa sedekah itu perlu diberikan. Nabi Muhammad SAW ketika ditanya mengenai bersedekah kepada kaum kerabat menerangkan :

"Orang (yang bersedekah kepada kerabatnya) itu mendapat dua pahala : pahala hubungan silaturahim dengan kerabatnya dan pahala sedekah itu sendiri." (Hadis riwayatkan Bukhari dan Muslim serta al-Nasa'i dan at-Tirmizi)

Dalam hadis lain daripada Abu Mas'ud al-Ansari daripada Nabi Muhammad SAW sabda Baginda :

"Sesungguhnya orang Islam itu apabila dia memberi nafkah dengan sesuatu kepada keluarganya, sedangkan dia memberikannya dengan tujuan mematuhi perintah Allah dan mengharapkan pahalanya nescaya pemberiannya itu menjadi sedekah (yang berpahala) baginya." (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkara itu diterangkan lebih lanjut dalam hadis daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda :

"Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar lagi yang engkau belanjakan pada memerdekakan seorang hamba abdi, satu dinar lagi yang engkau sedekahkan kepada seorang miskin dan satu dinar lagi engkau belanjakan kepada keluargamu, (maka) yang lebih besar pahalanya adalah yang engkau belanjakan kepada keluargamu." (Hadis sahih riwayat Muslim)

Dalam huraiannya Imam Nawawi berkata, hadis itu menggalakkan memberi nafkah kepada keluarga sendiri dan menerangkan pahalanya.

Hal itu kerana antara mereka ada yang diwajibkan nafkahnya disebabkan pertalian kerabat. Ada pula yang disunatkan nafkahnya sebagai sedekah dan untuk menghubungkan silaturahim. Malah, ada juga antaranya yang diwajibkan nafkahnya dengan sebab pertalian nikah kahwin.

Semua itu amalan baik yang sangat digalakkan, bahkan lebih afdal daripada sedekah sunat yang diberikan dengan sukarela (kepada orang lain).