Wednesday, August 15, 2007

Panduan Untuk Mendapat Anak Soleh


Anak adalah amanah Allah SWT. Kita hendaklah menjaga amanah itu dengan sempurna. Begitu pun, Allah SWT memberi petunjuk dan pedoman untuk menjaga amanah itu. Terpulanglah kepada kita untuk menerima atau menolaknya, tepuk dada tanya iman.

Proses pembentukan anak soleh dan bertakwa bukan bermula pada peringkat bayi, malah bermula sebelum perkahwinan lagi. Prosesnya adalah :

Niat

Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan itu adalah mengikut niat. Dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu mendapat apa yang diniatkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seseorang bernikah dengan niat melahirkan anak yang berjaya di dunia dan akhirat adalah berbeza dengan mereka yang berkahwin semata-mata memuaskan hawa nafsu dan tidak mengikut syariat Islam. Ini berkemungkinan akan mendapat anak yang berjaya dalam bidang keduniaan semata-mata.

Memilih pasangan soleh

Mereka yang berkahwin kerana kecantikan semata-mata perlu menyedari bahawa ia bersifat sementara. Perkahwinan adalah ujian kesabaran, pengorbanan dan ketahanan. Berapa ramai manusia yang cantik molek, gagah, kacak dan kaya raya, berkahwin hari ini, bulan depan bercerai.

Isteri solehah pula senang mendengar teguran dan nasihat. Mereka juga selalunya mempunyai usaha untuk membaca, mendengar dan mencari ilmu Islam. Tentu mereka ini yang layak untuk membantu anak supaya menjadi insan soleh dan solehah.

Menanam benih

Ketika menanam benih (persetubuhan) hendaklah kita mengikut sunat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dengan sekurang-kurangnya membaca doa.

Ia penting supaya benih kita mendapat mendapat keberkatan dan terhindar daripada perbuatan syaitan.

Sesungguhnya iblis dan syaitan sentiasa bersama kita dalam setiap pekerjaan seperti makan, minum dan dalam persetubuhan yang tidak disebut nama Allah SWT.

Dengan doa dan mengingat Allah SWT, percampuran suami dan isteri diredai Allah SWT sepanjang masa. Lupa dan menderhaka kepada Allah SWT, lebih-lebih lagi benci kepada-Nya, akan menyebabkan anak yang lahir tidak mengenai Allah SWT.

Makanan halal

Setiap perempuan mengandung, mesti menjauhi makanan dari sumber syubhah (diragui), apatah lagi yang haram seperti perjudian, riba dan rasuah. Hal ini bukan saja ketika hamil, malah sepanjang masa.

Untuk menjadi makanan halal dan berkat apabila dimakan, hendaklah diucapkan lafaz ijab dan kabul ketika berjual beli. Harta yang dimiliki hendaklah dikeluarkan zakat supaya bersih dan halal. Hal ini kerana zakat itu bermakna bersih lagi bertambah. Mudah-mudahan kehidupan suami isteri bertambah sayang dan lahir zuriat bersih, lagi mulia akhlaknya.

Bagi melahirkan zuriat soleh jua, keluarga hendaklah menekankan kebersihan dalam makanan. Contoh makanan tidak bersih adalah roti canai/murtabak menggunakan telur ayam yang tidak dibasuh terlebih dulu. Hal ini kerana telur yang tidak dibasuh itu menyebabkan roti canai/murtabak menjadi kotor dengan najis ayam.

Setiap makanan dan pakaian yang syubhah dan haram akan menjadi benih kita seterusnya menjadi darah daging anak cucu. Ia yang akan membentuk hati dan perasaan serta akal, lalu menjadikan mereka degil, keras hati, bodoh dan sebagainya.

Membanyakkan ibadah

Ibu bapa hendaklah banyak beramal dan beribadah. Buat yang wajib dan tambah yang sunat, terutama solat lima waktu. Perbanyakkan membanyakkan membaca al-Quran kerana ia mempunyai kesan langsung kepada lidah, hati dan lebih-lebih lagi kepada janin anak yang dikandung.

Ibu bapa hendaklah menjauhi semua jenis maksiat yang boleh sampai kepada janin melalui pancaindera seperti hiburan, filem dan majalah yang melalaikan.

Membentuk anak agar menjadi insan soleh, lagi pintar dan bijaksana adalah kewajipan kita yang berat. Ia tidak boleh dipandang ringan kerana adalah perintah Allah SWT.